Saturday 2 April 2011

Industri Halal



Memanfaat Peluang Industri Halal

Satu daripada tanggungjawab besar umat Islam ialah memastikan makanan dimakan dalam keadaan sentiasa halal, baik dan berkhasiat. Isu makanan halal memberi implikasi besar kepada umat Islam kerana ia ada kaitan dengan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Jumlah umat Islam dunia hari ini dianggarkan 1.5 bilion hingga 2 bilion orang dan dijangka mencecah tiga bilion menjelang 2010. Di negara kita sendiri, bilangan penduduk beragama Islam dianggarkan 15 juta orang.

Dengan begitu ramai penduduk Islam di seluruh dunia, permintaan untuk makanan halal tentu sekali tinggi. Pada 1998, permintaan makanan halal bagi seluruh dunia dianggarkan berjumlah AS$80 bilion (RM280 bilion). Hari ini permintaan makanan halal sedunia dianggarkan berjumlah AS$150 bilion (RM525 bilion).

Di Malaysia saja, jika diandaikan setiap orang Islam membelanjakan RM1 sehari untuk makanan, permintaan bagi makanan halal mampu melebihi RM5 bilion setahun. Saiz pasaran makanan halal tempatan ini mungkin lebih besar jika diandaikan sebahagian penduduk bukan Islam juga bersedia menggunakan makanan halal.

Satu laporan mengenai pasaran makanan halal oleh Agriculture and Agri-Food Canada (AAFC) keluaran Jun 2006 menyatakan 14 peratus daripada perbelanjaan makanan oleh pengguna Malaysia adalah untuk daging.

Laporan itu menyebut daging lembu adalah dua pertiga daripada jumlah daging diimport oleh Malaysia pada 2005, Malaysia mengimport daging bernilai AS$231 juta (RM809 juta). Enam puluh peratus daripada pengimportan daging adalah dari India diikuti Australia dan New Zealand.

Selain Malaysia, negara Islam lain juga mengimport daging bagi memenuhi keperluan mereka. Arab Saudi pengimport besar daging dengan AS$ 567 juta (RM1.98 bilion) pada 2003. Dua lagi negara Islam sebagai pengimport besar daging ialah Algeria dan Mesir dengan nilai AS$215 juta (RM752 juta) dan AS$183 juta (RM640 juta).

Berbalik kepada pasaran dalam negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) pernah melapor jumlah import makanan diproses pada 2002 adalah RM5.7 bilion. Pasaran makanan halal sejuk dan sejuk beku pula dianggarkan 85 peratus daripada keseluruhan pasaran makanan sejuk dan sejuk beku Malaysia.

Semua angka disebutkan di atas menunjukkan wujud satu pasaran amat besar dalam industri makanan halal sama ada tempatan atau antarabangsa. Pasaran makanan halal akan terus meningkat dengan penambahan penduduk Islam, baik dalam negara atau di seluruh dunia.

Penggunaan makanan halal juga akan bertambah dengan peningkatan kuasa beli umat Islam di negara sedang membangun dan negara maju. Pada masa sama, kesedaran dan keinsafan umat Islam sendiri mengenai hukum agama berkaitan halal dan haram melonjakkan permintaan makanan halal.

Kewujudan satu pasaran besar bagi makanan halal di seluruh dunia sudah pasti memberi peluang kepada usahawan dan ahli perniagaan. Malangnya kebanyakan peluang ini sudah lama direbut orang bukan Islam sama ada di Malaysia atau di luar negara.

Secara global kita dapati pengeluar besar makanan halal adalah negara bukan Islam. Dalam pengeluaran daging khususnya, jelas sekali pengeluar utama adalah negara seperti Amerika Syarikat, Argentina, Australia, Kanada, China, India, New Zealand dan United Kingdom.
Pada peringkat serantau, kita dapati Thailand sudah membina nama sebagai pengeluar makanan halal. Dalam negara sendiri, kita tahu usahawan bukan Islam lebih menguasai pengeluaran makanan halal berbanding usahawan Muslim.

Di sini berlaku keganjilan di mana permintaan untuk makanan halal sangat besar dan penting kepada umat Islam di seluruh dunia, namun peluang menjadi pengusaha dan pengeluar pelbagai jenis makanan halal tidak direbut sepenuhnya umat Islam sendiri.

Negara kita sudah menetapkan hasrat untuk menjadi pusat pengeluaran makanan halal bagi keperluan tempatan dan dunia. Kita dapat saksikan beberapa daya usaha sudah dimulakan untuk memberi kesedaran kepada rakyat mengenai pelbagai peluang perniagaan dalam industri makanan halal.
Sejak 1982, proses pengesahan halal untuk makanan sudah diperkenalkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Pengenalan satu piawaian untuk makanan halal MS1500:2004 oleh kerajaan kebelakangan ini dengan sendiri memberi peluang mendapat kelebihan bersaing bagi pengusaha keluaran makanan halal.

Usahawan Muslim tempatan khususnya hendaklah cepat bertindak merebut pelbagai peluang dalam industri makanan halal. Peluang berniaga dalam industri makanan halal terbuka luas pada semua peringkat rantaian bekalan.

Dengan penekanan kepada sektor pertanian dan industri asas tani oleh kerajaan sekarang ini, peluang perniagaan semakin terserlah dan mudah. Sokongan kerajaan menerusi penyediaan pelbagai jenis bantuan dan sokongan perlu segera dimanfaatkan.
Usahawan Muslim mempunyai pilihan sama ada bergiat pada peringkat asas pertanian seperti menjadi penternak atau peladang. Peluang juga terbuka pada peringkat pengilangan dan pembuatan dengan memberi nilai tambah kepada hasil utama makanan daripada pertanian. Pelbagai jenis makanan dapat diusahakan untuk memenuhi kehendak pengguna Islam.

Seterusnya usahawan Muslim boleh membabitkan diri dalam sektor pemborongan makanan halal. Ini boleh dilakukan dengan menjadi pengedar makanan halal bagi produk import atau pengeluaran tempatan. Jika negara terpaksa mengimport makanan halal, sebaiknya biarlah usahawan Muslim bertindak sebagai pengimport.

Peluang seterusnya kepada usahawan Muslim ialah menjadi usahawan pada peringkat peruncitan. Umpamanya sudah ada usahawan Muslim membuka pasar mini khas untuk barang halal di beberapa tempat. Seharusnya lebih ramai usahawan Muslim bergiat menjadi penjual barang halal.

Untuk bergerak maju dalam industri makanan halal, usahawan Muslim mesti memastikan produk keluaran mereka berkualiti tinggi dan menepati semua keperluan syarak supaya terjamin halal. Pada masa sama produk dikeluarkan hendaklah dapat bersaing dari segi harga.
Usahawan Muslim juga perlu bijak menggunakan teknologi, peralatan dan kemudahan terkini untuk bersaing dalam dunia perniagaan. Perhatian harus juga diberi kepada aspek promosi dan pengiklanan untuk menembusi pasaran makanan halal.
Umat Islam memerlukan kemunculan lebih ramai usahawan Muslim untuk memastikan keperluan pengguna Islam dapat dipenuhi dengan sempurna. Usahawan Muslim perlu tampil menyambut peluang dalam industri makanan halal di samping menyempurnakan fardu kifayah.
INTI PATI
  • Umat Islam dituntut memanfaat peluang menjadi pengusaha dan pengeluar makanan halal yang mempunyai pasaran amat besar sama ada tempatan atau antarabangsa.
  • Dengan pelbagai jenis bantuan dan sokongan kerajaan dalam sektor pertanian, umat Islam boleh bergiat pada peringkat asas seperti menjadi penternak atau peladang.
  • Hasrat negara menjadi pusat pengeluaran makanan halal dunia menambahkan lagi peluang bagi umat Islam meningkatkan ekonomi menerusi industri halal.
  • Produk halal tidak hanya menepati semua keperluan syarak, tetapi mesti berdaya saing dari segi kualiti dan harga.
  • Pembabitan usahawan Muslim dalam industri makanan halal bukan saja meningkatkan ekonomi umat Islam tetapi juga dapat menyempurnakan fardu kifayah.
Sumber: Berita Harian - Nota Niaga, 29 Jan 2007

No comments:

Post a Comment