Monday 11 April 2011

Anak-anak Tupaiku ( episod 1 )

Lambat lagi! Aku tidak tahu sama ada aku terlewat disebabkan keasyikan melayan PES 2010 malam tadi sehingga aku tidur ‘seawal’ 2.30 pagi ataupun lewat kerana aku sengaja membiarkan kakiku lambat melangkah, menuju ke tempat tugasanku. Terasa amat lemah. Selemah semangatku?

“Kalau  hari ni cuti, alangkah best!” fikirku.

Mataku  meneliti petak-petak konkrit yang disusun seakan seekor ular besar yang sedang menjalar di atas tanah. Macam tapak permainan pun ada, seandainya petak-petak itu diwarnakan dengan warna yang ceria.

“Kalau dicat o.k juga” fikirku lagi.

“Good morning sir!” tegur Siaw Mei dari arah belakangku. Aku hanya tersenyum dengan sapaan sebegitu, hanya membiarkan sapaanya tidak berjawab. Agak asing pada pendengaranku. Kebiasaanya aku diberi salam sahaja. Tapi sapaan itu sudah cukup untuk memulihkan semangatku pagi ini. Aku sengaja membiarkan diriku dipintas oleh Siaw Mei yang menyapaku dari belakang. Langkahnya cepat kerana destinasinya sama denganku. Kelihatan beberapa kepala manusia terjenguk-jenguk disebalik tingkap bangunan yang kutujui.

“Pinjam pen”, kataku kepada Cerolyn sebaik sahaja aku berada di depan pintu.  “Pen hitam o.k”, tambahku lagi. Cerolyn terus menyerahkan pen hitamnya.

“Helen ada?” tanyaku secara rawak kepada mereka yang berada di depanku.

“Ada!” jawab Patricia sambil menyerahkan buku rekod kehadiran kepadaku.

“Diana?” tanyaku lagi kepada Patricia.

“Ada, tapi ke tandas bersama Rokiah. Jilinsia tak ada hari ni,demam.”

“Eh? Semalam sihat saja saya lihat?” tanyaku lagi.

“Ntah?”, kata Patricia sambil mengangkat  bahunya, lalu beredar menuju ke meja Shaliha dan Nurul, gadis yang sering melakukan lagak ala-ala samseng bersama-samanya.

Mataku menjeling ke arah jam tanganku. 7.18. Tiba-tiba terdengar suara nyaring Mila dan Caronmella agak kuat ketawa. Entah apa hujung pangkal ceritanya, mungkin ‘bergossip’ seperti selalu mereka lakukan. Kemudiannya mataku beralih arah kepada Gloria, Haziah, Elizaberth dan Rokiah. Empat orang ‘artis pentomin’ bagiku. Sebabnya? Suara mereka agak mahal untuk diperdengarkan kepada rakan-rakan mereka. Tapi aku yakin sikap mereka sebenarnya tidaklah seperti  itu setiap masa. Cuma persekitaran di sini bukan merupakan comfort zone buat mereka. 

“David! Awas kau ha!”jerit Jessyca. Aku tersentak dengan suara jeritan Jessyca. David hanya tersengih. DXC dan Harisson pula sekadar menjadi penonton kepada drama antara David dan Jessyca. Seolah-olah satu hiburan buat mereka berdua.  Jessyca hanya merengek umpama kanak-kanak yang tidak mampu berbuat apa-apa.

“Pasal apa kau suka sangat kacau perempuan?!” marah Ferisema. Serentak dengan itu, Rozylia berdiri di sebelah Ferisema sambil mencekak pinggangnya, seolah-oleh memberi isyarat bahawa saiz badannya yang kecil itu tidak bermakna dia takut.

“Tak pernah nampak perempuankah?’ celah Rozylia sambil mengecilkan matanya dengan harapan rupanya menjadi lebih garang.

Kemudian Ferisema dan Rozylia memandangku seolah-olah mahukan aku mengambil tindakan ke atas David. Aku hanya mampu tersenyum, kerana aku tahu suatu  masa kelak ketegangan ini akan menjadi sebahagian daripada kenangan manis buat mereka. Aku hanya membiarkan situasi itu berlalu kerana aku tahu hal itu tidaklah seserius mana pun.

“Jangan dilayan David tu”, sampuk Monica. Gadis Bidayuh yang suka berbahasa Iban. Dianacrista hanya menggelengkan kepalanya. Di sebalik wajah lembut dua gadis itu, aku dapat rasakan kekerasan hati mereka. Pun begitu, amaran mahupun teguran gadis-gadis tadi hanya dibalas dengan wajah tanpa emosi David. Sokongan padu dari DXC dan Harrisson cukup untuk dirinya berasa kebal dari serangan kata-kata mereka semua.

“Perhatian! Sesiapa yang ada terambil gunting saya, tolong prihatin sikit!Saya nak gunting saya balik!”.

Pengumuman mengejut Helda menyebabkan Gabriel yang baru datang dari ‘ngedet’ sedikit bingung. Pouline yang berada di sebelahnya cuba untuk menenangkannya Helda. Adakah Gabriel yang terbawa gunting milik gadis yang ada kalanya agak serius itu? Aku hanya mampu meneka. Namun tekaan aku meleset kerana dengan muka bersalah Gerald menghulurkan gunting  kepada Helda.

“Sorry o.k. Bukan sengaja tak nak pulangkan, Cuma buat-buat lupa  siapa pemiliknya!

Gerald cuba untuk menceriakan mood Helda yang ‘berangin’ pada waktu itu dengan lawak tahap kroniknya. Steffanus dan Zaimoricsh seakan-akan tidak kisah dengan situsi pada waktu itu walaupun duduk di sebelah Gerald. Mereka berdua hanya asyik menumpukan perhatian mereka untuk menyiapkan tugasan P.A pada minit terakhir. Suatu ketika dahulu, sikap sedemikian merupakan kebiasaanku juga. Kerja ‘last minute’ ada kalanya mengundang amarah dari guru P.A ku  yang terkenal dengan kegarangannya. Berkat sikap garang guru itu telah menyelamatkan keputusan STPMku.

Tiba-tiba aku tersedar daripada lamunan pagi apabila Cerolyn meminta pennya kembali. Pandangannya agak menjengkelkan aku kerana aku sedar bahawa aku telah tersengih-sengih seorang diri tanpa menyedari kelakuanku itu telah lama diperhatikan oleh beberapa pasang mata di depanku.

“Baiklah, semua duduk di tempat masing-masing. Kita akan mula sikit masa saja lagi,” perintahku kepada ‘anak-anak tupaiku’.

Mengapa anak-anak tupai? Aku tidak berniat untuk menyamakan insan-insan yang berada di depanku dengan haiwan yang sering melompat-lompat dari satu pohon ke pohon yang lain. Cumanya aku suka membanding mereka dengan peribahasa Melayu, ‘ sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua’. Jangan salah faham dengan analogiku ini wahai anak-anak tupaiku. Bayangan tupai yang mahir melompat di atas pokok, namun ada kalanya mereka akan jatuh ke bumi juga. Namun selepas itu, tupai itu akan bangkit semula, menuju ke pokok dan terus melakukan apa yang mereka patut buat, iaitu melompat dari pokok ke pokok yang lain.

Begitu jugalah halnya dengan tanggungjawab kalian sebagai anak dan pelajar. Pesan buat anak-anak tupaiku, memang ada kalanya kalian akan berdepan dengan kegagalan, namun usah mengalah kerana kalian harus menguatkan tekad untuk terus berusaha, laksana tupai yang terjatuh ke  tanah, terus bangkit dalam kesakitan, menuju ke puncak pohon ilmu.  


No comments:

Post a Comment