Thursday 31 March 2011

Anak-anak tupaiku

melihat gelagat dan kepetahan mereka semasa 'berceramah' mengingatkan aku pada teman sekelasku...hargailah masa bersama rakan dan sahabat kalian kerana masa itu tidak akan berulang...melainkan berlalu.semoga berjaya dalam apa juga yang kalian tempuhi kelak. 




Wednesday 30 March 2011

Kata Hubung

KATA HUBUNG
KATA HUBUNG

A. Definisi dan konsep


i. Kata hubung merupakan sebahagian daripada 4 golongan kata yang utama dalam sistem bahasa Melayu, iaitu, Kata Nama, Kata Kerja, Kata Adjektif dan Kata Tugas. Kata Hubung pula merupakan pecahan daripada kata tugas.

Bagi mempermudah pemahaman kita , definisi kata hubung agak sinonim dengan namanya, iaitu ‘hubung’ yang membawa maksud sesuatu yang menyambung antara dua atau lebih perkara. Menurut catatan pada Tatabahasa Dewan , kata hubung adalah kata yang berfungsi sebagai penyambung kepada dua atau lebih binaan ayat, lalu membentuk ayat majmuk.

Asraf pula mentakrifkan kata hubung sebagai kata yang digunakan untuk menghubungkan unit-unit bahasa dalam ayat gabungan dan ayat pancangan.

Kesimpulan daripada penjelasan itu tadi, dapatlah diringkaskan bahawa kata hubung ialah kata yang berfungsi untuk melengkapkan ayat gabungan ataupun ayat majmuk agar lengkap struktur binaannya.

ii. Kata hubung juga memiliki pecahan tertentu bergantung kepada jenis ayat yang dibina iaitu ayat majmuk gabungan dan ayat majmuk pancangan. Maka dapatlah kita katakan bahawa kata hubung terbahagi kepada dua jenis iaitu;

a. Kata Hubung Gabungan
b. Kata Hubung Pancangan

Asraf pula menambah satu lagi jenis kata hubung sebagai tambahan kepada dua pecahan tadi iaitu Kata Hubung Berpasangan. Sementara itu, Nik Safiah Karim pula menjelaskan bahawa kata hubung dapat dipecahkan kepada empat jenis yang kecil iaitu ;

a. Kata hubung gabungan
b. Kata hubung pancangan keterangan
c. Kata hubung pancangan relatif
d. Kata hubung pancangan komplemen.


iii. Bagi memudahkan pemahaman kita, lihat sahaja pada contoh-contoh kata hubung seperti berikut.






Kata Hubung Gabungan
-kata yang menghubungkan dua klausa atau lebih yang sama tara sifatnya

-Dan -Lalu
-Atau -Malahan
-Tetapi -Sambil
-Serta -Kemudian

Kata hubung Pancangan Relatif
-kata yang berfungsi menghubungkan klausa utama dengan satu klausa kecil yang lain
-Yang

Kata Hubung Pancangan Komplemen
-berfungsi menghubungkan satu klausa yang menjadi komplemen atau pelengkap pada satu klausa utama
-Bahawa
-Untuk

Kata Hubung Pancangan Keterangan
-berfunsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada satu klausa utama

Kerana Sementara Tatkala Kendatipun Apabila
Sekiranya Ketika Sungguhpun Semasa
Kalau Walaupun Meskipun Sewaktu
Hingga Agar Supaya Untuk

Kata Hubung Berpasangan
-kata hubung yang digunakan secara berpasang-pasang dalam bentuk ayat majmuk gabungan juga

baik…
ataupun baik…
mahupun Bukan saja…
tetapi juga jangankan..pun sedangkan…
apatah lagi semakin…
semakin
baik…baik bukan saja…
bahkan juga entah…
entah kian…kian makin…
makin sedangkan…tambahan pula


Contoh ayat.

Kata Hubung Gabungan

a. Esra dan Mekimzon menghasut Sanusi di kedai kopi.
b. Zanusi memberi kata dua kepada Entonio agar melupakan Mary Sing atau bersedia untuk dibelasah sehingga parah.
c. Entonio menyahut cabaran Zanusi lalu mencapai parang di sebelahnya.
d. Mary Sing ketakutan sambil jarinya mendail nombor telefon Inspektor Enderson.
e. Inspektor Enderson bergegas pergi ke tempat kejadian sambil melihat kehebatan dirinya melalui cermin pejabat.
f. Melihat kebengisan wajah Entonio, Zanusi terus terus meminta tolong daripada Esra dan Mekimzon tetapi permintaanya tidak dipedulikan
g. Bukan sahaja Zanusi berlari ketakutan, malahan Esra dan Mekimzon juga lari lintang pukang.
h. Inspektor Enderson segera merampas parang di tangan Entonio serta cuba untuk menggari tangannya
i. Parang itu dibungkus dengan plastk kemudian ditulis perkataan “bahan bukti’ pada plastik berkenaan.


Kata Hubung Pancangan Relatif

a. Karen Hadia yang kebetulan berada di tempat kejadian segera menceritakan situasi sebenar kepada Inspektor Enderson

Kata Hubung Pancangan Komplemen

a. Dia menjelaskan kepada Inspektor Anderson bahawa Entonio hanya bertindak menggertak Zanusi, bukan untuk mencederakannya
b. Enderson menjelaskan bahawa tindakannya hanyalah untuk memenuhi prosedur yang mesti dilaksanakan semasa membuat siasatan.



Kata Hubung Pancangan Keterangan

a. Zofia bersedih kerana kawannya ditangkap polis.
b. Teman lelakinya akan dibebaskan sekiranya dia didapati tidak bersalah
c. Dia akan meminta tolong daripada peguam kalau Antonio teraniaya.
d. Peguam itu akan cuba membela Antonio hingga dia dibebaskan daripada tuduhan
e. Sementara menunggu waktu perbicaraan, dia selalu menganyam ketupat semasa di penjara
f. Ramai kawan Antonio berteriak ketika dia dibawa masuk ke kamar perbicaraan.
g. Walaupun lesu, dia tetap kelihatan kacak.
h. Sanusi berdoa agar musuh ketatnya itu dipenjara.
i. Kawalan ketat terpaksa ditingkatkan agar penyokong Kelab Juventus tidak merusuh.
j. Meskipun suhu di bilik itu panas, Hudrey tetap tidak berganjak dari kerusinya.
k. Mazona tetap mengagumi Shahmizan kendatipun dia merupakan pelajar samseng.
l. Semasa dia termenung, buah hatinya dibawa keluar dari bilik.
m. Setena terus menulis surat untuk dibaca oleh teman lelakinya.
n. Apabila kekasihnya keluar dari penjara, dia akan memastikan mereka akan hidup bersama selamanya

Kata Hubung Berpasangan

a. Baik lelaki mahupun perempuan mempunyai hak yang sama
b. Buku ini berguna bukan saja bagi para pelajar tetapi juga para guru.
c. Ceritanya itu entah betul entah tidak
d. Jangankan Saifullah, Shahrizan pun tak larat mengangkat batu giling yang berat itu


B. MASALAH

i. Secara tidak disedari, kita sebagai pengguna bahasa Melayu sering melakukan kesilapan khasnya dalam konteks ini yang melibatkan penggunaan kata hubung yang tidak sepatutnya digunakan pada sesetengah ayat.

Kadang kala, kita sering menggunakan kata hubung yang tidak wujud dalam ssstem bahasa kita, namun penggunaannya agak meluas, khasnya apabila kita cuba untuk menterjemahkan sesuatu atau sesebuah kenyataan dalam penulisan. Terjemahan itu berasal daripada bahasa Inggeris iaitu where, which, whenever, in which. Maka, wujudlah perkataan . terjemahan secara lansung daripada penggunaan bahasa Inggeris. Contohnya perkataan seperti ‘di mana,’, ‘yang mana’, bila mana, dalam mana dan sebagainya. Contohnya;

a. Hampir setiap sel tumbuhan mengeluarkan hasil rembesan di mana setiap sel mempunyai dinding rembesan luar dan lompang berair.

Jika diamati ayat di atas, perkataan di mana seolah –olah berfungsi sebagai kata hubung. Namun, seperti yang telkah dinyatakan sebelum ini, perkataan di mana itu sendiri adalah terjemahan dari penggunaan bahasa Inggeris yang agak janggal penggunaan dalam binaan ayat kita. Oleh yang demikian, kita seharusnya mengelakkan penggunaan kata hubung yang salah. Perkataan di mana itu sebenarnya adalah contoh kepada frasa sendi

a. Pantai Pandan terletak di mana?
b. Di manakah rumah Ali?

Bagi menyelesaikan masalah di atas, kita boleh menggunakan kata hubung yang sesuai ataupun tidak menggunakan sebarang kata hubung bagi mengelak kesalahan yang berulang.

a. Hampir setiap sel tumbuhan mengeluarkan rembesan. Setiap sel mempunyai dinding rembesan luar dan lompang berair.
b. Hampir setiap sel tumbuhan yang mempunyai dinding rembesan luar dan berair mengeluarkan rembesan.

ii. Selain itu, terdapat juga kesalahan semasa menggunakan kata hubung yang tidak sesuai dengan binaan ayatnya. Misalnya, ada dalam kalangan pengguna bahasa Melayu yang membina ayat majmuk komplemen.
a. Nana Babu tidak menyedari yang Zaifullah ada menaruh perasaan terhadapnya.

Agak jelas pada ayat di atas jelas menunjukkan bahawa ayat berkenaan merupakan binaan ayat komplemen iaitu ayat majmuk pancangan komplemen dan kata hubung komplemen sepatutnya digunakan, bukannya kata hubung pancangan relatif .

Klausa utama Klausa yang menjadi komplemen @ pelengkap
Nana Babu tidak menyedari (sesuatu)
Zaifullah ada menaruh perasaan terhadapnya

Sepatutnya, kata hubung yang sesuai hendaklah daripada kelompok kata hubung pancangan komplemen ‘bahawa’ kerana kata hubung berkenaan lebih sesuai dengan kenyataan ‘Zaifullah ada menaruh perasaan terhadapnya’ yang bersifat komplemen ataupun pelengkap kepada klausa ‘Nana Babu tidak mnenyedari’. Satu ciri ayat majmuk pancangan komplemen yakni kata hubung komplemen ‘bahawa’ boleh digugurkan tanpa menjejaskan ayat.

a. Nana Babu tidak menyedari bahawa Zaifullah ada menaruh perasaan terhadapnya
b. Nana Babu tidak menyedari Zaifullah ada menaruh perasaan terhadapnya.


Oleh yang demikian, amat perlulah kita tahu akan binaan sesuatu ayat sebelum memutuskan apakah bentuk kata hubung yang hendak kita gunakan agar kesilapan yang sama dalam penulisan tidak berulang.

Tuesday 29 March 2011

alahai...

Keputusan GP dah keluar...kesimpulannya, pencapaian 6A3 kali ini agak "mencalar harapan" dek penangan GEO dan Sej. Namun aku tahu pelajarku dah mencuba...cuma belum memadai sahaja. Nak buat projek "supplement" la pulak...hmmm...menjadi kah?

PEMANTAPAN TATABAHASA


PEMANTAPAN TATABAHASA

Subjek Ayat
Setiap ayat perlu ada subjeknya. Subjek ayat terbina daripada FN,  atau daripada FK, atau FA yang berfungsi sebagai FN (FK/FA=F
N), kecuali FS . FS tidak boleh berfungsi sebagai subjek ayat meskipun FS boleh hadir pada pangkal ayat sebagai frasa sendi keterangan yang dikedepankan.

*Dengan cra ini dapat menngkatkan produktiviti .
Cara ini dapat
Dengan cara ini, peladang/syarikat/kita dapat meningkatkan...
(perhatikan kewujudan tanda baca koma bagi frasa sendi keterangan yang dikedepankan.)

*Dengan adanya undang-undang dan penguatkuasaan akan memastikan wujudnya keamanan, keselamatan dan keadilan.
Adanya undang-undang dan  penguatkuasaan akan memastikan

PENYISIPAN KETERANGAN DI ANTARA KKT DENGAN KN/FN OBJEK
Objek boleh dipisahkan daripada KKT oleh keterangan , dan keterangan yang disisipkan itu perlu terus diikuti oleh FN Objek, bukan diikuti oleh FS.

*Buku itu mengungkapkan dengan panjan g lebar tentang riwayat hidup tokh itu.
...mengungkapkan dengan panjang lebar riwayat hidup tokoh itu.

FRASA SENDI BERFUNGSI SEBAGIAI KETERANGAN AYAT (Ket.=FS)
Ayat yang sudah sempurna subjek dan predikatnya jika mahu diberi maklumat tambahan, maklumat itu diberikan dalam bentuk FS, BUKAN FK atau FN. FK atau FN tidak boleh berfungsi sebagai keterangan kecuali frasa nama yang merujuk waktu seperti pagi kelmarin, hari ini, esok, lusa dan sebagainya. Frasa keterangan ayat lazimnya terbina daripada FS.

*Harga barangan dan perkhidmatan turut meningkat akibat/disebabkan kenaikan  harga petrol dan diesel.
...turut meningkat  sebagai akibat/ kerana/oleh sebab kenaikan harga petrol dan diesel.

*Kesan daripada program motivasi itu, para pelajar menjadi lebih cekap dan lebih yakin untuk mengharungi cabaran pendidikan alaf baru.
Sebagai kesan program itu, para pelajar...

SUMBER: Sarana Bahasa Malaysia Universiti
Murshidi Harun, Tan Hock Thye , Yahya Che Lah,
2009, Oxford Fajar.  

Friday 25 March 2011

Ayat Dasar

Soalan
Antara berikut, yang manakah ayat yang tergolong dalam ayat dasar?
i. Mereka berbual-bual sambil minum kopi
ii Kanak-kanak itu pengsan di tepi kolam.
iii. Pemuda yang berbaju biru itu pelajar cemerlang
iv. Pejabat Encik Shahrul di bandar raya Kuala Lumpur. 

cadangan jawapan
Ayat dasar dikenali sebagai ayat inti , iaitu ayat yang
menjadi dasar atau sumber pembentukan semula ayat
lain dalam sesuatu bahasa.

Ayat terbitan pula ialah ayat baharu yang terbit daripada
beberapa proses seperti peluasan, penggantian,
penggguguran, atau penyusunan semula.
(Nik Safiah Karim, Fajar Bakti ,2006)

Dalam ayat dasar, unsur yang menjadi konstituen
 subjek ialah FN dan predikat boleh terdiri daripada
 FN, FA, FK atau FS.
 (Goay Teck Chong, Choo Say Tee, Zinuddin Ahmad
 Pearson Longman, 2010)

i. Mereka berbual-bual sambil minum kopi
 ayat i : sambil ( kata hubung gabungan)
iii. Pemuda yang berbaju biru itu pelajar cemerlang
 ayat iii : yang (kata hubung pancangan relatif)

ayat ii dan iv merupakan ayat inti yang tidak mengalami 
kata tugas (kata hubung) yang dikatakan golongan kata
selain KN, KK dan KA yng mempunyai tugas
 masing-masing dalam binaan ayat, klausa dan frasa.

jawapan: ayat ii dan iv sahaja.

Percubaan Pertama

Sememangnya aku tersenyum sendiri setelah melihat 'post' pertamaku. Agak jelas menampakkan kenaifan namun pedulikan segalanya. mungkin ada yang mengeji, namun aku tetap puas hati. langkah seterusnya, memperbaiki kelemahan ketara agar menjadi sehalus mungkin. buat anak-anak 6A3 2011, pesanku...sama-sama kita berjuang, kerana kalian umpama aku dikala kementahan jiwa. Bersabar ya...