Wednesday 15 June 2011

Blues Untuk Anak-anak Tupaiku



Semangat mereka mulai luntur, bagai direndam dalam 'clorox' terbaharu seperti yang kulihat dalam iklan TV semalam. Kendatipun luntur, namun keceriaan bersama rakan sekabin tetap masih kekal justeru semakin akrab antara satu dengan lain. Aku membiarkan DXC dan Pouline berbual dengan suara yang mustahil untuk kudengar. "Busy body"? "Poret"? Berilah apa sahaja gelaran kepadaku, aku menerimanya dengan selamba kerana hakkatnya aku suka untk mengambil tahu hal-hal cerita kehidupan yang melingkari duniaku. 


Aku mula menerima hakikat bahawa bukan semua yang direncanakan oleh kita akan menjadi kenyataan. Cita-cita dan angan-angan sememanganya hampir sama jika kita lihat daripada aspek sifatnya, iaitu gagasan fikiran kita yang akhirnya dijelmakan dalam bentuk tindakan untuk mencapainya. 


Hanya satu sahaja impianku dan hasratku, agar kalian dapat menempuh lautan kehidupan, yang ada kalanya mendamaikan dan sesekali bergelora. Aku juga sedar kejayaan dalam hidup bukan sekadar bersandarkan kemampuan untuk memperoleh keputusan terbaik dalam peperiksan sekolah, tetapi perkara yang paling penting kemampuan untuk membahagiakan diri sendiri dan berkongsi dan memberi kebahagian yang kita miliki kepada orang yang kita sayangi. Itulah kejayaan paling bermakna dalam kehidupan kalian kelak.