Monday 14 November 2011

Makanan Tradisi Vs Obesiti

Belakangan ini kita terdapat beberapa laporan yang mengaitkan makanan tradisi rakyat negara yang tercinta ini dengan punca atau gejala obesiti. Malangnya, seperti biasa ada sesetengah pihak terus melatah dengan meletakkan kesalahan pada makanan sehinggakan makanan seperti nasi lemak tidak boleh dijual di premis makanan di sekolah. Bukan niat hendak merendahkan usaha murni sesetengah pihak untuk memastikan rakyat negara ini sihat, tetapi saya yakin bahawa ada usaha lain yang sedang dirangka dan diusahakan bagi menangani masalah ini seperti kempen 1 murid 1 sukan, pendidikan jasmani, aktiviti kokurikulum dan sebagainya. Jangan pula meletakkan obligasi  kepada pihak kerajaan sahaja kerana ibu bapa merupakan pembentuk gaqya hidup anak-anak perlu memainkan peranan yang lebih bagi memastikan tahap kesihatan anggota keluarga mereka dalam keadaan yang terbaik. Bukan makanan yang patut disalahkan kerana khuatir satu masa kelak, tidak keterlaluan jiuka saya katakan makanan tradisi akan hilang ditelan zaman. Berikut merupakan artikel yang berkait dengan isu makanan tradisi. tepuk perut, tanya selera, picit kepala, tanya minda.


Sunday, April 24, 2011


Nasi Lemak Memang Penyebab Obesiti


 Beberapa pertubuhan bukan kerajaan NGO meminta kerajaan mengkaji semula arahan menghadkan penjualan nasi lemak di kantin sekolah kerana mereka mendakwa langkah itu kurang sesuai dan tidak menyelesaikan masalah.

Jangan tersalah faham apa yang dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Nasi lemak yang disebutkan dalam sidang media itu hanyalah salah satu contoh kepada penyebab obesiti.

Obesiti adalah kegemukan yang mampu membawa kepada kemunculan penyakit lain-lain pada masa yang sama. Contohnya, saluran darah tersumbat, sakit jantung, kencing manis dan tekanan darah tinggi. Dalam hal ini, masyarakat harus tahu maksud obesiti. Maksud obesiti tidak boleh dinilai melalui sudut fizikal badan seseorang itu sahaja. Ada sesetengah orang menganggap diri mereka mempunyai berat dan saiz badan yang ideal, tetapi hakikatnya mereka adalah golongan obesiti. Jadi, untuk menilai samaada kita obesiti ataupun tidak, kita perlulah menggunakan kaedah Body Mass Index (BMI).
Orang zaman dahulu sinonim dengan amalan
pertanian. Anak-anak pun dikerah untuk
membantu ibu bapa di situ. Aktiviti fizikal
di situ menyihatkan anak-anak.
Berbalik kepada isu nasi lemak, nasi lemak sebenarnya tergolong dalam makanan-makanan penyebab obesiti. Nasi yang kita makan setiap hari pun boleh membawa kepada obesiti juga. Masalahnya pada alaf ini, pemakanan nasi (lemak) kini tidak sama dengan pemakanan yang di ambil oleh orang-orang dahulu sekitar tahun 1990 an dan juga sebelum itu. Pada zaman itu, seseorang individu mengambil nasi lemak sewaktu sarapan. Selepas makan, mereka melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan, berlari dan bagi golongan ibu bapa pula mereka akan membajak sawah, menuai padi dan menoreh getah di mana penggunaan tenaga yang disumbangkan oleh nasi lemak tadi digunakan sepenuhnya. Penghasilan lemak dalam badan pun akan berkurang. Berbeza dengan sekarang, terutamanya golongan kanak-kanak, selepas sarapan atau makan besar mereka akan terduduk di hadapan televisyen dan juga komputer selama berjam-jam. Jadi, tenaga yang mereka dapat dari nasi lemak tadi akan berubah menjadi lemak di bahagian bahagian-bahagian badan (dalam erti saintifik, glukosa berlebihan yang tidak digunakan dalam badan akan ditukarkan kepada glukagon dan fat) kerana tidak digunakan.

Berikutan dengan fakta yang dinyatakan, langkah menghadkan pengambilan nasi (lemak) atau lain-lain makanan (tradisional) sememangnya boleh mengurangkan obesiti. Ini kerana, akan terdapat kesan psikologi yang pelajar akan terima terhadap pengambilan makanan. Apabila anak-anak terdidik dengan budaya sebegitu, secara tidak langsung akan memberi kesedaran kepada ibu bapa mereka di rumah melalui interaksi antara satu sama lain. Semuanya bermula dari sekolah.
Zaman sudah berubah, anak-anak dikelilingi dengan kemajuan
teknologi. Aktiviti fizikal mereka tidak lagi seperti anak-anak
zaman dahulu.
Tindakan Kementerian memulakan langkah ini bukan untuk menghilangkan makanan tradisional, tetapi bertujuan untuk mendidik masyarakat terutamanya anak anak generasi masa depan agar prihatin terhadap pengambilan makanan pada alaf yang penuh kemajuan ini. Zaman sekarang tidak seperti zaman dahulu. Zaman sekarang masyarakat lebih gemar duduk di hadapan TV dan komputer. Sekaligus keadaannya sudah berubah dalam hal pemakanan. Nasi lemak memang murah dan mengenyangkan, tetapi tidak semestinya murah dan mengenyangkan itu menjamin kesihatan sekiranya kita tidak pandai mengawal pengambilannya. Bak kata Hippocrates, tokoh Eropah tersohor, "Mari kita anggap makanan sebagai ubat, dan ubat sebagai makanan".

Berikutan penggunaan BMI dalam Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Sekolah yang gagal memberi kesedaran kepada ibu bapa, ini perlulah difikirkan secara mendalam. Pertama, ibu bapa tidak mendapat kesedaran kerana guru-guru tidak menerangkan hal ini kepada mereka. Masalah kedua, guru-guru sendiri pun tidak memahami apa itu BMI dan kepentingannya dalam kesihatan murid-murid. Masalah ketiga, apabila guru-guru gagal memahami dan memberi kesedaran mengenai BMI, mereka menganggapnya hanya perkara remeh. Kementerian pasti sedar mengenai masalah ini kerana golongan guru-guru pun tidak berapa mahir dalam aspek makanan. Hendak meletakkan pegawai dietetik dan pemakanan di setiap sekolah pula menelan kos perbelanjaan yang tinggi malahan untuk menghasilkan professionalisme ini bukanlah satu perkara mudah dan mengambil masa yang amat panjang.

Ukuran untuk mengukur berat badan


Formula pengiraan
BMI =
( kg/m² )
Berat badan (kg)
————————————
Tinggi (meter²)
Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGGMB) berkata, pihak sekolah tidak boleh memaksa pemakanan kanak-kanak. Jika ibu bapa sudah gagal dalam kesedaran pengambilan makanan di rumah, mengapa pula pihak sekolah tidak mahu 'memaksa' pelajar-pelajar sekolah dalam pengaturan pemakanan?

Kesimpulannya, nasi lemak, bihun, mee, mamee monster, sotong kering, nasi kerabu atau apa sahaja boleh menyebabkan obesiti. Langkah Kementerian Kesihatan untuk melakukan agenda pemakanan ini kerana faktor waktu dan budaya pemakanan dan aktiviti fizikal (senaman) masyarakat kini tidak lagi sama seperti zaman dahulu. Obesiti di kalangan kanak-kanak sekolah rendah berumur enam hingga 12 tahun telah meningkat daripada 9.7 peratus pada 2001 kepada 13.7 peratus pada 2007 mengikut kajian, namun keadaan belum sampai ke tahap tidak terkawal. Walaupun begitu, langkah awal perlu diambil.











*Sabda Nabi Muhammad S.A.W : Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca penyakit.
http://beritakiny.blogspot.com/2011/04/nasi-lemak-memang-penyebab-obesiti.html#ixzz1djVrDXCr


Bahaya juadah raya

Oleh ANIZA ZAINUDIN
anizazainudin@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TRADISI...lemang, rendang dan ketupat antara juadah wajib Aidilfitri.
TRADISI...lemang, rendang dan ketupat antara juadah wajib Aidilfitri.
BERBICARA mengenai Aidilfitri, masing-masing terbayang keseronokan menyambut keberkatan Syawal selepas sebulan menahan diri menghadapi dugaan Ramadan. Bagi kanak-kanak, sampul duit raya mengandungi helaian wang berwarna biru, hijau mahupun merah menjadi perkara pertama terlintas di fikiran, di samping juadah makanan berasaskan coklat.
Golongan dewasa pula mengambil peluang untuk menikmati kemeriahan budaya kunjung mengunjung ke teratak sanak saudara dan teman terdekat, selain menantikan hidangan istimewa sebagai pembuka selera.
   
  • FotoTRADISI...lemang, rendang dan ketupat antara juadah wajib Aidilfitri.
  • FotoTRADISI...lemang, rendang dan ketupat antara juadah wajib Aidilfitri.
  • FotoLAMBAKAN...lambakan biskut ‘tunjuk’ membuat rambang mata.
Sudah pasti hidangan tradisional Melayu seperti rendang, lemang dan ketupat menjadi pilihan utama dan kemestian pada pagi raya.

Malah, ada yang berpendapat jika sajian tradisi itu tidak dihidangkan kepada tetamu, kemeriahan dan suasana gembira seolah-olah tidak dirasai biarpun wujud aneka pilihan menu raya moden, termasuk biskut serta kek sebagai pengganti.
Click Here


Di sebalik kelazatan resipi tradisional turun temurun, terselit risiko bahaya kesihatan jika pengambilannya tidak dikawal, terutama bagi penghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti jantung, obesiti, darah tinggi dan diabetes.

Pensyarah Jabatan Pemakanan Dietatik, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof Dr Fatimah Arshad berkata, trend kemasukan ke hospital akibat penyakit NCD lebih tinggi ketika sambutan perayaan sama ada Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas.

Peningkatan berkenaan dikatakan mempunyai kaitan rapat dengan pengambilan makanan berkolesterol tinggi tanpa kawalan dan berlebihan ketika musim perayaan, sekali gus menjadi punca utama masalah kesihatan masyarakat.

Katanya, kebanyakan orang menyalah guna konsep perayaan dan menganggap ia sebagai peluang memenuhi tuntutan nafsu makan sebaik saja berakhir Ramadan.

“Ungkapan ‘balas dendam’ selepas berpuasa tidak seharusnya wujud. Dalam tempoh setahun, hanya 30 hari kita (umat Islam) diminta menunaikan Rukun Islam ketiga ini. Manakala selebihnya organ dalaman kita bekerja setiap masa bagi memproses makanan yang diambil antara tiga hingga lima kali sehari.

“Gara-gara ingin membalas dendam, tahap kesihatan seseorang individu terjejas, terutama penghidap NCD. Segelintir pula mengalami masalah obesiti sebaik saja berakhirnya Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di IMU, baru-baru ini.

Dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, masyarakat digalak mengekalkan diet pemakanan seimbang mengikut piramid makanan yang mengutamakan sistem pengambilan makanan berkhasiat di samping pengurangan lemak, garam dan gula.

Ketika menyediakan juadah yang dihasilkan daripada makanan berlemak tinggi seperti santan, majerin dan gula sebagai bahan utama, Fatimah mencadangkan penggunaan bahan pengganti lebih sihat, antaranya susu rendah lemak dan tanpa lemak.

Mengambil contoh resipi sajian rendang daging, bahan utama iaitu santan perlu digunakan sebahagian manakala selebihnya digantikan dengan susu rendah lemak yang mudah diperoleh di pasar raya.

Katanya, amalan ini mampu mengurangkan tahap kolesterol tinggi yang terkandung dalam santan, sekali gus mengurangkan risiko penyakit NCD.

Bagi pemilihan daging pula, Fatimah mengakui setiap daging ada khasiat tersendiri, namun masyarakat perlu bertindak bijak dengan menggunakan daging ayam yang diasingkan kulit atau daging lembu tanpa lemak. Penambahan menu salad dan buah-buahan segar turut membantu menyeimbangkan sajian pada pagi raya.

Sebagai penghilang dahaga, penggantian minuman mengandungi bahan perisa, pewarna dan gula kepada jus buah-buahan, koktel serta air kosong adalah lebih baik kerana ia dapat mengurangkan kadar gula dalam tubuh serta risiko diabetes.

Sememangnya menjadi tanggungjawab tuan rumah menyajikan hidangan istimewa kepada tetamu, namun pada masa sama pilihan dan penyediaan makanan seimbang perlu diamalkan setiap masa tanpa wujudnya pengecualian ketika Syawal.

Sementara itu, tetamu juga perlu memainkan peranan masing-masing dengan mengawal pengambilan kuantiti makanan setiap kali mengunjungi rumah teman dan saudara terdekat, bukan mengikut nafsu makan saja.

Kunjungan berjadual ke rumah saudara ketika musim perayaan digalakkan untuk mengelak seseorang individu terlepas pandang kuantiti makanan diambil.

Mengulas kebanjiran makanan ‘tunjuk’ sempena Aidilfitri yang turut dikaitkan mempunyai bahaya dalam diam, Fatimah berpandangan masyarakat wajar menggunakan kuasa pengguna dan mengamalkan sikap cerewet ketika sesi jual beli makanan seperti serunding, rendang, dodol, lemang dan biskut.

“Sasaran utama penjualan makanan ‘tunjuk’ adalah warga kota yang sering kesempitan masa kerana sibuk bekerja, sekali gus menjadikannya pilihan mudah dan semakin popular.

“Dalam keghairahan membeli makanan ‘tunjuk’, orang ramai dinasihatkan mengkaji beberapa kriteria penting, antaranya tarikh luput, bahan digunakan, pembungkusan, kualiti makanan daripada segi rasa, cara penghasilan dan kredibiliti pengeluar.

“Sebelum membeli, pelanggan digalak memastikan adanya tarikh luput berikutan makanan ‘tunjuk’ dihasilkan dalam jangka masa antara dua hingga tiga bulan sebelum perayaan dan dibimbangi ia tidak selamat dimakan,” katanya.

Ibarat duri dalam daging, keenakan makanan tradisi dan biskut raya bakal mendatangkan risiko keracunan makanan apabila kualiti tidak terjamin hasil pengabaian kaedah penting ketika proses pembuatan, penyimpanan serta pembungkusan.

Fatimah turut memberi petua supaya masyarakat tidak termakan pujukan peniaga makanan ‘tunjuk’ yang mengadakan jualan harga ‘runtuh’, terutama pada malam perayaan seperti yang berlaku di Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).

Beliau mengakui segelintir masyarakat gembira dengan situasi harga runtuh berkenaan kerana dapat menjimatkan perbelanjaan, namun tidak menyedari wujudnya kemungkinan biskut ‘tunjuk’ itu rosak atau berbau.

Antara alternatif yang boleh diambil adalah menerusi tempahan juadah hari raya daripada individu dikenali atau terdekat, selain mempunyai kredibiliti daripada segi kualiti pembuatan makanan.


No comments:

Post a Comment