Monday 14 November 2011

Penagihan Semula (Relaps)

Di Malaysia, masalah penagihan relaps merupakan  suatu  cabaran besar kepada negara.  Mengikut perangkaan  yang dikeluarkan oleh AADK (2009), jumlah penagih dadah yang dikesan sepanjang tempoh bulan Januari-Disember 2008 adalah seramai 12,352 orang penagih dadah.  Statistik ini menunjukkan terdapat penurunan sebanyak 
14.75% berbanding tempoh masa yang sama tahun lalu (14,489 orang).  

Di kalangan 
penagih yang dikesan,  5,939 orang  (48.08%) terdiri daripada  penagih baru.  Jumlah ini   menurun  sebanyak  11.08%  berbanding  6,679  orang bagi tempoh yang sama tahun  lalu. Manakala penagih relaps yang dikesan adalah seramai  6,413  orang (51.92%), juga telah menurun sebanyak 17.89% berbanding tahun lalu (7,810 orang).  

Walaupun tren penagihan ini dilihat berkurangan, namun hakikatnya kadar penagih relaps yang direkodkan  melebihi  daripada  kadar penagih baru yang didaftarkan.Mengapakah keadaan ini berlaku?  Apakah faktor utama yang menyumbang kepada kecenderungan penagihan relaps di kalangan penagih?  

Secara teorinya, apabila lebih ramai penagih diberikan khidmat rawatan  dan pemulihan maka semakin kuranglah bilangan yang kembali menagih, tetapi hakikat yang berlaku adalah sebaliknya.  Walaupun penagih telah menjalani program rawatan pemulihan, namun 
kebanyakannya didapati masih  lagi  gagal untuk mengekalkan gaya hidup bebas dadah setelah keluar dari pusat pemulihan.  

Walau bagaimanapun, tren penagihan yang semakin berkurangan  seperti mana yang dilaporkan oleh AADK  ini sedikit sebanyak dapat melegakan semua pihak, namun usaha berterusan untuk 
membanteras masalah penagihan dadah hingga ke akar umbi perlu digerakkan dengan lebih tersusun supaya hasrat Negara untuk mencapai wawasan sifar  dadah menjelang 2015 terlaksana dengan jayanya.

Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 mendefinisikan penagih dadah sebagai seseorang yang melalui penggunaan apa-apa dadah merbahaya.  Saunders & Allsop, 1987 memberi takrifan penagihan relaps sebagai „kembali ke tahap sebelum 
rawatan‟. 


Manakala menurut Mahmood (1996), penagihan relaps bermaksud 
penggunaan, pengambilan atau penyalahgunaan bahan psikoaktif selepas seseorang itu telah selesai menjalani rawatan dan pemulihan penagihan dadah dari segi pergantungan fizikal dan psikologikal terhadap dadah.   


Menurut Rasmussen  (2000) pula, relaps tercetus kerana terbinanya krisis lanjutan seperti melihat remeh sesuatu masalah, perasaan yang tertekan, perancangan masa hadapan yang lemah dan gagal, berfikiran bahawa semua perkara tidak dapat diselesaikan dan bertindak secara tidak matang.  Individu yang relaps juga mengalami perasan keliru dan memberi reaksi yang berlebihan kesan daripada tidak dapat berfikir dengan jelas, tidak dapat mengurus perasaan dan emosi, sukar untuk mengingati sesuatu, berasa 
keliru, tidak dapat mengawal tekanan dan menjadi mudah marah.


Pelbagai faktor yang dikenalpasti menjadi punca kepada penagihan relaps di kalangan penagih.  Antaranya, konsep keyakinan diri yang seringkali dikaitkan dengan kecenderungan  penagihan  relaps.  Chuah (1990), dalam kajiannya mendapati bahawa penagih yang kurang berkeyakinan diri  berkecenderungan tinggi untuk kembali menagih setelah dibebaskan daripada mendapatkan rawatan dan pemulihan. 

Keadaan ini berbeza dengan dapatan kajian terhadap 60 orang penagih arak yang mendapati individu yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi selepas rawatan pemulihan akan mengalami risiko yang rendah untuk menagih arak semula (Allsop, Saunders & Phillips, 2000).


Sokongan yang lemah di kalangan ahli keluarga dan masyarakat terhadap bekas penagih juga memberi pengaruh yang tinggi terhadap kecenderungan penagihan relaps (Daley, 1987; Hawkins & Fraser, 1987; Miller, 1992; Zackon, McAuliffe & Ch‟ien, 1985).  


Kajian yang dijalankan oleh Mohd Taib, Rusli & Mohd Khairi (2000) 
terhadap pola komunikasi kekeluargaan di kalangan keluarga penagih dadah dan bukan penagih dadah mendapati pola komunikasi yang longgar dan interaksi yang kurang berkesan di kalangan keluarga bekas penagih merupakan salah satu kebarangkalian tinggi terhadap aktiviti penagihan dadah.    


Sesungguhnya, sokongan keluarga amat  diperlukan bagi memastikan proses rawatan berjaya dan perkaraperkara seperti tidak mengambil peduli dan memulaukan bekas penagih hanya akan menggagalkan proses rawatan yang seterusnya menyebabkan bekas penagih kembali semula ke alam penagihan (Daley & Marlatt, 1992; Vicary & Lerner, 1986). 



Antara faktor lain yang dikaitkan dengan penagihan relaps adalah disebabkan oleh pengaruh  rakan lama yang masih menagih yang juga memainkan peranan yang penting dalam keterlibatan penggunaan semula dadah. Mahmood, dll., (1999) mendapati 50 peratus rakan-rakan lama mempengaruhi bekas penagih untuk kembali semula kepada tabiat penagihan dadah setelah mereka keluar daripada pusat 
pemulihan.  Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa 76 peratus rakan-rakan bekas penagih tahu  di mana tempat untuk mendapatkan bekalan (dadah).  Keadaan inilah antara faktor yang mendorong berlakunya penagihan relaps di kalangan bekas penagih yang telah mendapatkan khidmat rawatan.    


Namun, kajian di atas berbeza dengan dapatan kajian yang ditemui oleh Chuah (1990).  Beliau mendapati sokongan rakan berupaya membantu seseorang bekas penagih untuk tidak menagih.  Beliau 
berpendapat dengan adanya sokongan berbentuk emosi dan semangat yang tinggi, ia secara tidak langsung meningkatkan tahap keyakinan diri penagih dan mengurangkan risiko seseorang terhadap penagihan relaps.



Mc Coy dan Lai (1997) pula mengaitkan faktor ketidakupayaan untuk mendapatkan pekerjaan  oleh bekas penagih  setelah keluar daripada pusat pemulihan serta ditambah dengan ketiadaan sokongan kewangan menyebabkan penagih kembali semula ke alam penagihan dadah. 


Namun begitu, Yunos (1995)  pula berpendapat bahawa majikan yang  seringkali  mengambil kesempatan ke atas bekas penagih dengan membayar gaji yang rendah dan tidak mengikut kelayakan dan pengalaman mereka telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan bekas penagih  sehingga mendorong bekas penagih untuk berhenti kerja.






Yahya & Mahmood, (2002) pula mendapati bahawa  program rawatan dan pemulihan dadah yang dikendalikan di mana-mana negara menghadapi pelbagai cabaran kejayaannya. Faktor keberkesanan program pemulihan  dadah juga merupakan salah satu faktor  yang dikaitan sebagai punca berlakunya penagihan relaps di kalangan 
penagih.  


Ini kerana sesetengah pengkaji mendapati program pemulihan dadah yang dijalankan ke atas penagih kurang berkesan untuk memberi kesedaran kepada penagih (Mokhtar,1997, Wellish & Prondergast, 1995; Friesen, 1986; Donkin, 1989). Banyak kajian pula mendapati model rawatan dan pemulihan dadah yang sedia ada masih  lagi  menunjukkan kadar kegagalan yang tinggi (Brill, 1981; Tims, 1981; 
McLellan, Luborsky, O‟Brien, Woody & Druley, 1982; De Leon, 1984; Scorzelli)


ARTIKEL INI MERUPAKAN PETIKAN DARIPADA KERTAS KERJA YANG DIHASILKKAN OLEH :



Fauziah Ibrahim
Bahaman Abu Samah
Mansor Abu Talib 
Mohamad Shatar Sabran



FAKTOR MENYUMBANG KEPADA PENAGIHAN RELAPS DALAM
KALANGAN PENAGIH DADAH PUSPEN DI SEMENANJUNG MALAYSIA
http://www.adk.gov.my/html/pdf/jurnal/2009/5_8.pdf






1 comment: