Monday, 1 August 2011

KINI,PELBAGAI LAMAN WEB RANGKAIAN SOSIAL TELAH WUJUD HASIL PERKEMBANGAN PESAT DUNIA INTERNET.HURAIKAN KESAN-KESAN NEGATIF YANG TIMBUL DAN LANGKAH-LANGKAH MENANGANINYA.

Penggunaan internet dalam kalangan masyarakat dunia semakin meningkat dengan pesat dan seterusnya mula mengubah cara hidup mereka.Kini,terdapat pelbagai kemudahan perkhidmatan rangkaian jalur lebar bagi memudahkan akses kepada internet seperti yang rancak dipromosikan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi dan Peyelia Perkhidmatan Internet (ISP).Menurut penyelidikan yang dibuat oleh IDC Research,pengguna internet di Malaysia telah menjangkau 16 juta orang dan angka tersebut dijangka akan melonjak ke 20.4 juta orang pada tahun 2012.Penyertaan dalam pelbagai rangkaian sosial di internet telah menular sehingga menjadi satu budaya dan santapan harian bagi sebahagian besar pengguna internet di seluruh dunia.Laman web aplikasi sosial bercambah sehingga mula mendominasi carta dari segi jumlah pelawat yang melayari alam siber dan dunia komunikasi maya.Sehingga kini,terdapat 170 rangkaian sosial interaktif dan aktif digunakan di seluruh dunia seperti Facebook,Twitter,Friendster,Myspace,Tagged,dan sebagainya.Kewujudan pelbagai laman web rangkaian sosial ini membawa banyak kebaikan terutamanya dari segi interaksi sosial kita dengan orang lain.
     Namun begitu,kemunculan pelbagai laman web rangkaian sosial ini juga ada keburukannya. Laman web rangkaian sosial ini dapat melalaikan pelawatnya sehingga melupakan tanggungjawab mereka yang lain.Hal ini dapat menyebabkan keruntuhan institusi keluarga.Kita sering terbaca kisah suri rumahtangga yang terlalu asyik melayari laman web seperti ‘facebook’ sehingga menggabaikan tugas mereka di rumah.Ada juga kes apabila si ibu tidak menyedari bahawa anaknya mendapat kemalangan kerana asyik melayari laman web rangkaian sosial.Ibu bapa yang sibuk bekerja pula sering meninggalkan anak-anak di rumah.Anak-anak ini pula selalunya akan melayari laman web rangkaian sosial untuk mengisi kesunyian mereka.Lama-kelamaan ,anak-anak akan lebih banyak meluangkan masa bersosial di internet berbanding bersama keluarga.Hal ini akan menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang akibat kurangnya interaksi antara ibu bapa dan anak-anak.
     Selain itu,dengan adanya pelbagai laman web rangkaian sosial yang muncul,anggota masyarakat terutamanya remaja lebih terdedah kepada gejala keruntuhan akhlak.Gejala keruntuhan akhlak yang dialami oleh mereka merupakan pengaruh rakan sebaya.Laman web rangkaian sosial sering menjadi tempat untuk meluahkan perasaan seperti gembira, sedih,marah,dan benci.Perkataan yang tidak baik akan dibaca dan akan mempengaruhi pembaca yang melayari laman sosial tersebut.Tambahan pula,laman web rangkaian sosial juga merupakan medium penyebaran unsur-unsur lucah menerusi gambar-gambar peribadi yang melampau serta perbualan berunsur lucah dengan kenalan di laman sosial.Ada juga GRO yang mencari pelanggan melalui laman web rangkaian sosial.Laman web rangkaian sosial juga sering membuat remaja kita terjebak dalam lembah kehinaan.Kita sering mendengar kisah remaja kita yang berkenalan dan bercinta dengan warga asing di internet sehingga diperdayakan oleh mereka untuk menjadi pelacur atau ‘keldai dadah’.Remaja yang belum pandai untuk menilai perkara yang baik dan yang buruk begitu mudah untuk terikut-ikut dengan budaya hedonisme di internet sehingga memudaratkan diri sendiri.
     Di samping itu juga,kemunculan alat komuikasi yang semakin digemari oleh setiap peringkat umur ini telah memberikan pelbagai impak negatif ke atas tahap sosialisasi mahupun gaya pemikiran individu.Kemunculannya telah mengundang pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat dunia pada hari ini yang menggunakan media baharu sebagai wahana komunikasi mereka.Kesan negatif tidak harus dipandang enteng oleh pihak yang terlibat secara aktif atau sebaliknya dalam menggunakan aplikasi laman sosial ini.Hal ini demikian kerana pelbagai kegiatan jenayah siber boleh dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.Penyerapan maklumat yang bersifat hasutan dan provokasi boleh dilakukan menggunakan aplikasi ini.Pengguna bebas untuk menyuarakan pendapat mereka tanpa sebarang sekatan oleh pihak-pihak yang berwajib.Perkara sebegini akan menyumbang kepada penyebaran maklumat yang salah kepada golongan masyarakat yang mempunyai tahap pemahaman atau pengetahuan yang rendah tentang sesuatu isu.Penyebaran maklumat yanga bersifat provokasi dan berupa hasutan dapat menyebabkan salah faham berkenaan sesuatu isu atau perkara yang sedang berlaku di dalam sesebuah negara atau organisasi serta boleh menimbulkan masalah keselamatan kepada sesebuah negara.Secara tidak langsung,tindakan sebegini akan mendedahkan kelemahan sesebuah negara atau institusi yang diserang oleh pihak yang mewujudkan provokasi dan penyebaran.
     Bagi mengatasi masalah ini,semua pihak harus memainkan peranan masing-masing.Kerajaan hendaklah mengorak langkah dengan menguatkuasakan undang-undang siber .Di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,SKMM  atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bertanggungjawab memantau dan menangani isu sensitif yang mengancam keselamatan negara seperti isu perkauman dan agama.Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pula bertanggungjawab mengendalikan semua urusan berkaitan dengan internet serta mengambil alih kuasa perlesenan terhadap spektrum penyiaran dan komunikasi.Selain itu,tedapat juga Akta Jenayah Komputer 1997 yang membantu kerajaan untuk membanteras unsur-unsur yang berbaur hasutan melalui internet yang akan mendatangkan bahaya kepada negara.
     Anggota keluarga pula harus bijak mengambil jalan agar hubungan kekeluargaan yang “bagaikan retak menanti belah” tidak terus hancur berkecai.Walaupun ada ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja tetapi mereka harus bijak mencari masa untuk diluangkan bersama keluarga.Dengan cara ini,anak-anak tidak akan berasa kekurangan kasih sayang dan perhatian.Dengan pemantauan ibu bapa juga,mereka tidak akan terlalu bebas untuk bergaul dengan teman-teman yang kurang baik di internet.Ibu bapa juga harus memeriksa laman web sosial anak mereka dari semasa ke semasa.Hal ini bagi memastikan pergaulan anak-anak mereka.
     Dalam pada itu,masyarakat juga harus memainkan peranan mereka bagi mengatasi masalah ini.Setiap anggota masyarakat seharusnya peka dengan setiap gejala yang berlaku dalam masyarakat.Mereka tidak seharusnya menutup sebelah mata dan bersikap “bagai enau dalam belukar,melepaskan pucuk masing-masing” apabila melihat kepincangan yang berlaku.Mereka sepatutnya mengambil tindakan seperti menegur atau melaporkan setiap kegiatan penyalahgunaan laman web rangkaian sosial kepada pihak berkuasa.
     Kesimpulannya,kesan buruk akibat kemunculan laman web rangkaian sosial ini tidak hanya menjejaskan seseorang individu itu sahaja,malah turut medatangkan kesan kepada masyarakat dan negara.Jika tiada langkah yang diambil bagi mengatasi masalah ini,maka tidak mustahil sekiranya masalah ini terus menjadi kudis yang akan merebak sehingga mengakibatkan kertuntuhan dalam institusi negara kita.Oleh itu,kesan negatif daripada kemunculan pelbagai laman web rangkaian sosial ini wajar dibendung bagi mengelakkan masalah ini menjadi lebih parah lagi dalam kalangan anggota masyarakat kita.Langkah-langkah pencegahan haruslah diambil terutamanya di rumah dan di sekolah.Dengan cara ini,kita dapat mengurangkan risiko berlakunya penyalahgunaan laman web rangkaian sosial sekaligus mengurangkan kesan yang berlaku akibat penyalahgunaan tersebut demi kebaikan kita semua. 

No comments:

Post a Comment

Post a Comment